Selasa, 10 Julai 2012

Budak dakwa didera bapa tiri

  
 gambar hiasan


MUAR – “Saya pernah diikat kaki, disimbah air serta dikurung dalam bilik air berjam lamanya hanya kerana kesalahan pulang lewat dari sekolah.

“Puas saya merayu agar tidak dikurung, tapi ayah tak mengendahkannya dan biarkan saya kesejukan dalam bilik air,” demikian luahan mangsa dera bapa tiri.

Mangsa yang berusia 12 tahun itu berkata, bapa tirinya sangat garang dan tidak teragak- agak menggunakan apa saja peralatan yang ada berhampiran untuk memukulnya jika dia membuat kesalahan.

“Selasa lalu, ayah pukul dan tumbuk muka saya kerana mengatakan saya bercakap tidak benar.

“Saya tidak tahu kesalahan apa yang telah saya lakukan sehingga menimbulkan kemarahannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hampir seminggu selepas kejadian, rahsia murid tahun enam itu bagaimanapun terbongkar apabila guru di sekolahnya mengesan kecederaan yang dialami mangsa ketika sesi perhimpunan sekolah, pagi semalam.

“Saya terpaksa berterus terang kerana kecederaan pada mata sangat ketara dan tidak boleh disembunyikan lagi. “Guru terus bawa saya buat laporan polis dan menjalani pemeriksaan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya.

Mangsa yang masih trauma mengalami kecederaan di bahagian mata, pipi dan kedua belah paha dipercayai akibat ditumbuk dan dipukul dengan menggunakan tukul besi serta tin penyembur serangga.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Shahdan Jaafar berkata, pemeriksaan di HPSF itu juga mendapati anak kedua daripada tiga beradik itu turut memiliki kesan luka lama di belakang badan.

“Lelaki terbabit yang juga bapa tiri mangsa ditahan selepas polis menerima laporan daripada pihak sekolah mengenai kecederaan dialami mangsa.

“Ketika ditahan, kami juga menemui dadah jenis ganja, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan,” katanya.

Shahadan berkata, lelaki terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Ibu mangsa walau bagaimanapun tidak ditahan, tapi dia hanya disoal siasat. “Pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kemungkinan dua lagi adikberadik mangsa turut didera atau pun tidak,” katanya.

Tiada ulasan: