MUAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itu
perumpamaan tepat menggambarkan ketabahan pasangan suami isteri yang
memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU).
Yaakob Ahmad, 50, dan isteri Hasnah Saad, 43, dari Batu 4 ½ Simpang
Baba, Jalan Bukit Pasir, Muar tidak pernah menduga anak yang dilahirkan
sihat dan sempurna, sekelip mata berubah menjadi OKU selepas menghidap
demam panas ketika berusia empat tahun.
Menurut Yaakob, pada awalnya dia tidak dapat terima hakikat dan kecewa apabila mengetahui dua dari empat anaknya jadi OKU.
“Namun saya berubah dan dapat terima kenyataan ini selepas mengikuti sebuah rancangan televisyen mengenai kisah anak OKU.
“Saya reda dengan ujian ini dan anggap mereka sebagai anugerah yang tidak ternilai daripada ALLAH,” katanya.
Yaakob berkata, dia tidak pernah berasa malu memiliki anak OKU seperti
Mohd Faezal Hairy, 20, dan Siti Fairus Hanatasia, 16, bahkan menganggap
mereka sebagai amanah yang perlu dijaga seperti anak-anak normal yang
lain.
Dia juga tidak pernah berasa terbeban dengan kehadiran anak OKU dan
menatang mereka bagai minyak yang penuh, meskipun setiap hari perlu
menguruskan mereka seperti seorang bayi.
Berkorban apa saja demi anak
BAGINYA, demi anak tersayang, dia sanggup berkorban apa sahaja termasuk
menolak ajakan rakan-rakan untuk bekerja di tempat jauh, semata-mata
tidak mahu berenggang dengan dua anaknya itu.
“Saya hanya bekerja sendiri untuk menyara keluarga dan perlu sentiasa
ada di rumah untuk bantu isteri menguruskan anak-anak OKU.
“Jika boleh setiap saat saya mahu di samping mereka dan mereka adalah nyawa serta sumber kekuatan saya,” katanya.
Katanya, dia tidak sanggup kehilangan kedua- dua anaknya itu apatah lagi melihat mereka sakit.
“Sekiranya mereka sakit, saya pasti tidak boleh tidur malam kerana terlalu bimbang.
Walaupun kedua-dua anak OKUnya itu tidak boleh bercakap, tetapi Yaakob
dapat memahami setiap kemahuan Mohd Faezaldan dan Siti Fairus.
Katanya lagi, dia sering memikirkan masa depan serta nasib kedua-dua anaknya itu, sekiranya dia dan isteri meninggal dunia.
“Ini yang membuatkan saya menangis kerana risau memikirkan penjaga yang sesuai apabila ketiadaan saya kelak,” katanya.
Anak dijangkiti H1N1
PADA tahun 2009, Yaakob sekeluarga berhadapan dengan pengalaman cukup
getir apabila Siti Fairus dimasukkan ke dalam wad kecemasan (ICU)
Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selama hampir dua minggu kerana
jangkitan H1N1.
Katanya, ketika itu kesihatan Siti Fairus sangat teruk, dia dan isteri hanya mampu berdoa untuk keselamatan anaknya.
“Dalam wad ICU tiada sesiapapun dibenarkan untuk lihat Siti Fairus,
saya dan isteri sangat cemas kerana keadaan dia sering tidak stabil.
“Rentetan penyakit itu juga Siti Fairus perlu kerap mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Terharu ada pihak prihatin
YAAKOB berkata, memiliki anak OKU menuntut kesabaran yang sangat
tinggi, selain memerlukan kos perbelanjaan besar untuk membeli keperluan
seperti lampin pakai buang.
Walau bagaimanapun dalam kesusahan dialaminya itu, dia sangat terharu
apabila ada pihak prihatin dengan nasib yang menimpanya itu.
“Saya sangat bersyukur apabila kedua-dua anak mendapat bantuan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sejak tahun 2006.
“Bantuan ini telah banyak membantu meringankan bebannya untuk menanggung dua anak OKU yang semakin dewasa,” katanya.
Katanya, jutaan terima kasih kepada ketua kampung dan wakil rakyat yang
sangat prihatin dengan keluarganya dan turut menziarahi anak-anaknya.
“Lebih terharu apabila terima bantuan zink baru dalam kejadian ribut
yang merosakkan hampir keseluruhan bumbung rumah pada Ramadan tahun
lalu,” katanya.
Yaakob berkata, dia mendedahkan kisah dua anaknya itu bukan bertujuan
untuk meraih simpati ataupun meminta bantuan, ia sekadar ingin berkongsi
pengalaman memiliki anak istimewa.
Selain itu, dia juga ingin berpesan kepada ibu bapa supaya tidak berasa
malu dan rendah diri apabila mempunyai anak OKU, hantarlah mereka ke
Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk mendapatkan latihan dan
kemahiran di sana.
2 ulasan:
Ya Allah berat mata memandang berat lagi bahu yg memikul :(
Sebenarnya 'OKU' sekarang tidak lagi bermaksud 'orang kurang upaya' tetapi 'orang kelainan upaya'.
Tidak boleh diambil ringan apabila anak kecil demam panas...
Catat Ulasan