MUAR - Seorang isteri tergamak membuat laporan polis palsu mendakwa
dirogol, gara-gara mahu menutup aib sendiri kerana menjalinkan hubungan
sulit bersama teman lelaki.
Malangnya, tembelang wanita berusia 38 tahun itu terbongkar, setelah
hasil pemeriksaan hospital mendapati tiada sebarang bukti dia dirogol
atau berlaku kekerasan
ke atasnya.
Menurut sumber, wanita terbabit dipercayai berlaku curang di belakang
suaminya sejak lima tahun lalu, selepas berkenalan dengan seorang lelaki
warga Bangladesh yang juga pekerja ladang sebuah estet dekat Pagoh.
“Sejak itu, mereka sering berjumpa termasuk mengadakan hubungan
terkutuk dalam rumah wanita ini yang terletak dalam estet tersebut,”
katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, kelmarin, anak lelaki
wanita terbabit yang berusia sembilan tahun, telah menjadi saksi
perbuatan terkutuk ibu sendiri bersama teman lelakinya di ruang tamu
rumah berkenaan.
“Jeritan kanak-kanak ini telah menyedarkan suaminya yang sedang tidur
lena dalam bilik utama. Suami wanita terbabit yang terkejut melihat
lelaki Bangladesh itu dalam keadaan mencurigakan, bertindak mengejar
lelaki terbabit,” katanya.
Katanya lagi, suami wanita itu mendapat pertolongan beberapa penduduk
berhampiran yang turut mengejar lelaki Bangladesh terbabit.
Menurutnya, cubaan warga Bangladesh berusia 33 tahun itu untuk
menyelamatkan diri gagal dan akhirnya dia dibelasah penduduk kampung
termasuk suami wanita
berkenaan.
“Lelaki terbabit kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah
(HPSF), kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan
termasuk lebam pada
mata,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan
Jaafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung
insiden tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan