SENAI – Seorang bapa dari Pasir Gudang bimbang dengan keselamatan anak
bujangnya yang hilang sejak sebulan lalu. Mohd Noor Abdul Samad, 58,
memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan anaknya, Noryaznizan Mohd
Noor, 31, yang dikatakan keluar dari rumah mereka di Taman Nusa Damai,
pada pagi 25 Mei lalu.
Noryaznizan yang merupakan anak sulung daripada lapan beradik itu
pernah keluar bersendirian namun bukan dalam tempoh yang lama.
“Sebenarnya pada sebelah malam sebelum dia hilang, anak saya ada
meminta wang sebanyak RM50 dan mahu gunakan wang itu untuk pergi
merantau.
“Oleh kerana dia mengalami sakit mental, kami tak beri wang berkenaan
dan tak sangka pada pagi keesokannya, dia keluar begitu saja dan sempat
mengambil wang kira-kira RM100 dari poket seluar saya,” katanya.
Mohd Noor berkata, anak lelakinya itu masih dalam proses mendapatkan
rawatan. Katanya, anak itu pernah keluar rumah termasuk pergi ke rumah
datuknya di Kuala Kangsar, Perak secara bersendirian tetapi tetap pulang
ke rumah dua atau tiga hari kemudian.
Usaha mencari Noryaznizan menemui jalan buntu apabila mereka sekeluarga
gagal menghubungi Noryaznizan kerana anaknya tidak memiliki telefon
bimbit.
Berikutan itu, dia telah membuat laporan polis pada 28 Jun lalu.
“Walaupun saya tak pasti ke mana hala tuju dia, tapi saya dapat rasakan
dia menuju ke Kuala Lumpur atau Bukit Beruntung, Selangor iaitu tempat
kerja lama dia.
“Saya juga risau kalau-kalau ada pihak-pihak yang tak bertanggungjawab
mengambil kesempatan ke atas dirinya yang tak sempurna itu,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat dan ternampak kelibat Noraznizan
diminta menghubungi Ketua Polis Balai, Masai, Inspektor Ramatasan
Harikrishnan di talian 019 920 1020 atau 07 251 1222.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan