Selasa, 10 Julai 2012

Pernah kecewa anak jadi OKU

Pernah kecewa anak jadi OKU      MUAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itu perumpamaan tepat menggambarkan ketabahan pasangan suami isteri yang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU).
Yaakob Ahmad, 50, dan isteri Hasnah Saad, 43, dari Batu 4 ½ Simpang Baba, Jalan Bukit Pasir, Muar tidak pernah menduga anak yang dilahirkan sihat dan sempurna, sekelip mata berubah menjadi OKU selepas menghidap demam panas ketika berusia empat tahun.
Menurut Yaakob, pada awalnya dia tidak dapat terima hakikat dan kecewa apabila mengetahui dua dari empat anaknya jadi OKU.
“Namun saya berubah dan dapat terima kenyataan ini selepas mengikuti sebuah rancangan televisyen mengenai kisah anak OKU.
“Saya reda dengan ujian ini dan anggap mereka sebagai anugerah yang tidak ternilai daripada ALLAH,” katanya.
Yaakob berkata, dia tidak pernah berasa malu memiliki anak OKU seperti Mohd Faezal Hairy, 20, dan Siti Fairus Hanatasia, 16, bahkan menganggap mereka sebagai amanah yang perlu dijaga seperti anak-anak normal yang lain.
Dia juga tidak pernah berasa terbeban dengan kehadiran anak OKU dan menatang mereka bagai minyak yang penuh, meskipun setiap hari perlu menguruskan mereka seperti seorang bayi.
Berkorban apa saja demi anak
BAGINYA, demi anak tersayang, dia sanggup berkorban apa sahaja termasuk menolak ajakan rakan-rakan untuk bekerja di tempat jauh, semata-mata tidak mahu berenggang dengan dua anaknya itu.
“Saya hanya bekerja sendiri untuk menyara keluarga dan perlu sentiasa ada di rumah untuk bantu isteri menguruskan anak-anak OKU.
“Jika boleh setiap saat saya mahu di samping mereka dan mereka adalah nyawa serta sumber kekuatan saya,” katanya.
Katanya, dia tidak sanggup kehilangan kedua- dua anaknya itu apatah lagi melihat mereka sakit.
“Sekiranya mereka sakit, saya pasti tidak boleh tidur malam kerana terlalu bimbang.
Walaupun kedua-dua anak OKUnya itu tidak boleh bercakap, tetapi Yaakob dapat memahami setiap kemahuan Mohd Faezaldan dan Siti Fairus.
Katanya lagi, dia sering memikirkan masa depan serta nasib kedua-dua anaknya itu, sekiranya dia dan isteri meninggal dunia.
“Ini yang membuatkan saya menangis kerana risau memikirkan penjaga yang sesuai apabila ketiadaan saya kelak,” katanya.
Anak dijangkiti H1N1
PADA tahun 2009, Yaakob sekeluarga berhadapan dengan pengalaman cukup getir apabila Siti Fairus dimasukkan ke dalam wad kecemasan (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selama hampir dua minggu kerana jangkitan H1N1.
Katanya, ketika itu kesihatan Siti Fairus sangat teruk, dia dan isteri hanya mampu berdoa untuk keselamatan anaknya.
“Dalam wad ICU tiada sesiapapun dibenarkan untuk lihat Siti Fairus, saya dan isteri sangat cemas kerana keadaan dia sering tidak stabil.
“Rentetan penyakit itu juga Siti Fairus perlu kerap mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Terharu ada pihak prihatin
YAAKOB berkata, memiliki anak OKU menuntut kesabaran yang sangat tinggi, selain memerlukan kos perbelanjaan besar untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang.
Walau bagaimanapun dalam kesusahan dialaminya itu, dia sangat terharu apabila ada pihak prihatin dengan nasib yang menimpanya itu.
“Saya sangat bersyukur apabila kedua-dua anak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sejak tahun 2006.
“Bantuan ini telah banyak membantu meringankan bebannya untuk menanggung dua anak OKU yang semakin dewasa,” katanya.
Katanya, jutaan terima kasih kepada ketua kampung dan wakil rakyat yang sangat prihatin dengan keluarganya dan turut menziarahi anak-anaknya.
“Lebih terharu apabila terima bantuan zink baru dalam kejadian ribut yang merosakkan hampir keseluruhan bumbung rumah pada Ramadan tahun lalu,” katanya.
Yaakob berkata, dia mendedahkan kisah dua anaknya itu bukan bertujuan untuk meraih simpati ataupun meminta bantuan, ia sekadar ingin berkongsi pengalaman memiliki anak istimewa.
Selain itu, dia juga ingin berpesan kepada ibu bapa supaya tidak berasa malu dan rendah diri apabila mempunyai anak OKU, hantarlah mereka ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk mendapatkan latihan dan kemahiran di sana.

2 ulasan:

paripariputih paripariputih berkata...

Ya Allah berat mata memandang berat lagi bahu yg memikul :(

logorithm logorithm berkata...

Sebenarnya 'OKU' sekarang tidak lagi bermaksud 'orang kurang upaya' tetapi 'orang kelainan upaya'.

Tidak boleh diambil ringan apabila anak kecil demam panas...