Khamis, 1 November 2012

IMAM PUN DAPAT IJAZAH??




KUALA LUMPUR: Imam Besar Al Azhar Dr Ahmad Muhamad Ahmed El-Tayeb akan menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang peradaban Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 16 Nov ini.
Pegawai Perhubungan Awam UIAM Roslan Rusly berkata Ketua Perlembagaan universiti itu, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Kehormat itu kepada El-Tayeb dalam satu majlis yang akan diadakan di Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac), Jalan Duta di sini.

Pada majlis itu, El-Tayeb dijadual menyampaikan syarahan yang akan dihadiri pengurusan tertinggi UIAM, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Agensi Berita Islam Antarabangsa (IINA) yang melaporkan El-Tayeb akan menerima Ijazah Doktor Kehormat itu dari UIAM semasa lawatan rasminya ke Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Pengarah media Al-Azhar, Dr Muhamad Jumaia’h berkata ijazah kehormat yang diberi kepada El-Tayeb adalah bagi mengiktiraf personaliti, ilmu pengetahuan dan pendekatan sederhana (Wasatiyyah) beliau dalam mempertahankan agama Islam, selain usaha beliau dalam mengembalikan peranan Al-Azhar di peringkat antarabangsa.

Muhammad juga berkata ini merupakan lawatan pertama El-Tayeb ke ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu sejak memegang jawatan Imam Besar pada Mac 2010, dan lawatan itu adalah atas jemputan ketua-ketua negara berkenaan.

Beliau berkata dalam lawatan itu, El-Tayeb dijangka merasmikan cawangan baru Persatuan Alumni Al-Azhar di Malaysia dan Indonesia, dan akan turut menyampaikan ceramah dan seminar di universiti di ketiga-tiga negara mengenai akidah dan etika Islam. - Bernama

Tiada ulasan: