seluruhnya dan jika ia jahat, jahatlah seluruh anggotanya,
ketahuilah ia adalah hati." (Bukhari dan Muslim)
Hati ibarat sumber segala sesuatu. Jika ia baik, maka baiklah segala yang dilakukannya, jika ia buruk, buruklah segala yang dilakukannya. Ia adalah tempat yang akan dinilai oleh Allah SWT disebalik amal-
amal kebaikan atau keburukan seseorang hamba. Allah mencintai hati yang bersih, hati yang sentiasa merendah diri, hati yang ikhlas, hati yang gementar, hati yang cinta, hati yang sentiasa mengharapkan keampunan dan pengharapan kepada-Nya.
Nilaian manusia terletak pada apa yang dilakukannya, tetapi nilaian Allah terhadap apa yang tersembunyi dalam hatinya. Ada manusia yang banyak beramal lalu ia dipandang tinggi oleh manusia. Ke mana ia pergi, nama dan amalnya atau kejayaannya sentiasa menjadi sebutan orang ramai. Tetapi di sisi Allah, ia tiada nilai sedikitpun malah lebih hina dari seekor anjing kerana amalnya tiada keikhlasan. Ada manusia yang amalnya sedikit atau kecil pada pandangan manusia, atau
mungkin tiada siapa yang memandangnya, tetapi nilainya tinggi di
sisi Allah SWT disebabkan keikhlasannya.
Di akhirat nanti, seluruh manusia akan berhadapan dengan Allah SWT sama ada ia ulama, para syahid, para hafiz, para ahli ibadah, para dermawan dan sebagainya untuk diperiksa hati mereka. Demi Allah, amat jahil dan butalah seseorang itu jika ia menganggap persoalan hati adalah kecil sedangkan di akhirat nanti ia adalah perkara utama yang menjadi nilaian Allah SWT.
Imam Nawawi rahimahuLlah dalam menyusun kitab Hadis 40 telah
meletakkan hadis yang berkaitan dengan niat sebagai hadis pertama. Syirik atau menyengutukan Allah dalam amal melambangkan ia tiada adab dengan Allah SWT, melambangkan hatinya tidak bersih. Mereka yang tiada ilmu dalam perjalanan nafsunya amat mudah tertipu.
Ramai manusia yang beribadah, tetapi menjadikan mereka makin jauh
dari Tuhan. Kerana ibadahnya dimasuki `ujub, takabur atau
riya'. Ramai yang menasihati orang lain kepada kebaikan tetapi malangnya mereka menjadi manusia yang amat dimurkai Tuhan, kerana mereka sendiri tidak melakukan apa yang dicakapkan. Ramai orang yang diberi
kekayaan dan menyangka itu adalah nikmat, padahal ia adalah istidraj untuk memusnahkan dirinya apabila harta tadi melalaikannya dengan Allah SWT. Banyaknya ibadah dan amal bukannya menjadi nilai lagi di sisi Allah, tapi keikhlasanlah yang menjadi ukurannya.
Awasilah Syaitan dan Nafsu
Demi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kehidupan yang
panjang ini, amat bahaya dalam mengabdikan diri pada Allah SWT.
Syaitan sebagai musuh utama tidak akan membiarkan manusia dalam
kebaikan, tidak akan membiarkan ibadah sampai ke langit. Syaitan
tidak menyerang manusia pada mata, telinga, kaki atau tangan tetapi ia melakukan serangan di tempat yang utama iaitu hati. Serangan yang dilakukan amat halus dengan pelbagai tipu daya sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Ia mempunyai penolong yang setia yang berada dalam diri anak Adam iaitu nafsu ammarah.
Perjalanan yang panjang inilah yang memberi peluang bagi syaitan
untuk menghilangkan kebaikan yang kita lakukan. Ia mahu segala amal soleh menjadi hancur. Kita dapat perhatikan bagaimana bijak dan jahatnya syaitan dalam membawa manusia bersamanya ke neraka.
Lihatlah kepada mereka yang dahulunya hebat dengan dakwah sama ada di kampus atau ketika muda, apabila kahwin mereka hilang entah ke mana. Ada yang kuat ibadahnya tetapi apabila bekerja, menjadi manusia yang lalai. Ramai yang ikhlas berniaga, awalnya diniatkan untuk membantu agama dan orang miskin jika berjaya, namun apabila berjaya mereka lupa malah menjadi orang yang sombong dan bakhil. Ada kumpulan yang begitu tinggi ukhuwwahnya di kalangan ahli, makan bersama, berpelukan bila bertemu, tetapi akhirnya menjadi musuh yang ketat.
Syaitan menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu elemen keluarga,
harta, pangkat, wanita dan senjata dalam diri manusia seperti sifat ego, dengki, cinta dunia, marah, dendam, taksub, suka berdebat, suka berehat, jemu dan sebagainya untuk melalaikan manusia dari Allah SWT. Apa yang malangnya, banyak amal yang dilakukan menjadi hancur apabila syaitan berjaya memasukkan jarum ujub, riya' dan sombong. Begitu juga dengan orang yang separuh abad usianya diabdikan pada dakwah, namun apabila usia di hujung senja, ia menjadi manusia biasa. Ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang yang berjuang fisabiliLlah, tetapi sebagai seorang doktor, usahawan, guru atau pegawai kerajaan. Alangkah ruginya kehidupan, alangkah ruginya usia
dan masa.
Ada orang yang bila perniagaannya menghadapi masalah, dia
mengundurkan diri dan lupakan Tuhan, meninggalkan amal dan dakwah. Kenapa ianya berlaku? Tidakkah ia merasa rugi sedangkan ganjaran dan kemuliaan mereka yang berada di medan dakwah sangat tinggi di sisi Allah SWT. Sedangkan ia juga mempunyai ilmu, bahkan ayat Al-Quran
dan Hadis yang menerangkan kelebihan dakwah dihafalnya dengan fasih. Ia juga sentiasa memperingatkan diri tentang bahaya tipu daya syaitan dan nafsu. Persoalannya apa lagi yang tiada pada dirinya sehingga ia hanyut, syaitan yang dimusuhi menjadi teman sejati, budaya hidup yang lalai menjadi suatu keseronokan, dakwah yang menjadi agenda utama menjadi perkara yang membosankan, sahabat yang dicintai kerana Allah menjadi sahabat yang ingin dijauhinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan