Isnin, 9 Julai 2012

Kemelut industri iklan, akhbar Melayu

Kemelut industri iklan, akhbar Melayu
Tambah kapsyen
Baru-baru ini, satu Forum Dasar Periklanan Negara (DPN) diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Selangor, bagi membincangkan kecenderungan syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan perkhidmatan daripada agensi pengiklanan antarabangsa.
Presiden Persatuan Agensi Pengiklanan Bumiputra (Pribumi), Datuk Rosle Jaamat berkata, kebanyakan agensi pengiklanan antarabangsa lebih suka membeli iklan dengan akhbar berbahasa Inggeris dan Cina sekali gus menyebabkan peluang agensi pengiklanan bumiputera untuk berkembang agak terbantut.
“Agensi pengiklanan bumiputera lebih memahami faktor demografi dan kehendak masyarakat di negara ini tetapi mungkin mereka tidak dapat melihat akan kelebihan itu,” katanya kepada media selepas forum berkenaan berlangsung.
Kalangan ahli panel forum tersebut terdiri daripada Pengerusi Friends Worldwide Sdn Bhd, Sahar Nor; Pengarah Urusan Redberry Sdn. Bhd; Rashidi Johari dan Perunding Eksekutif Pengiklanan Sinar Harian, Zulkhafle Jalil.
Menurutnya, GLC berkenaan sepatutnya menjayakan matlamat memperkasakan media berbahasa Melayu. Keupayaan dan keterampilan agensi pengiklanan bumiputera juga setanding dengan pesaing di peringkat global.

Bagaimanapun, hanya sebahagian kecil daripada hasil perbelanjaan iklan diterima agensi pengiklanan bumiputera dan organisasi media berbahasa Melayu.

“Secara kasarnya, agensi pengiklanan Bumiputera menerima hanya kira-kira 20 peratus hasil perbelanjaan iklan yang dianggarkan mencecah RM7.6 bilion manakala sebahagian besar bakinya dinikmati agensi pengiklanan antarabangsa.
“Sudah tentu angka itu masih belum mencapai sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus seperti yang digariskan menerusi Wawasan 2020,” katanya.
Justeru, DPN perlu dilaksanakan segera bagi menjamin masa depan agensi pengiklanan bumiputera.

Kesan globalisasi

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Mohamad Md Yusoff menjelaskan bahawa semua peserta forum sependapat mengenai perlunya industri iklan di struktur semula supaya lebih saksama.
Beliau yang bertindak sebagai moderator forum berkata, seramai 100 peserta yang terdiri daripada wakil industri, akhbar, agensi pengiklanan, wakil GLC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pensyarah bidang periklanan dan pelajar bersetuju mewujudkan DPN sebagai satu
langkah menstrukturkan semula industri ini yang semakin hari semakin berkembang.
“Kami telah membincangkan mekanisme bagaimana DPN dapat dilaksanakan, sama ada melalui penubuhan Majlis Iklan Negara (MIN), Suruhanjaya Periklanan Negara (SPN) atau menerusi kementerian tertentu.
“Draf DPN dan semua resolusi forum akan diserahkan kepada kementerian berkaitan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Menurutnya, pengenalan DPN penting sebagai panduan dalam menggubal undangundang berkaitan perindustrian periklanan. Ia adalah asas kepada segala kegiatan pengiklanan oleh agensi kerajaan, pengiklan, media dan agensi iklan.
Selain itu, ia juga diperlukan dalam menghadapi kesan globalisasi terhadap pengguna, pengiklan, media dan kerajaan.
Ini kerana kepelbagaian barangan dan perkhidmatan serta kecanggihan teknologi kesan daripada globalisasi mengubah aspek perundangan, ekonomi, strategi dan komunikasi, perdagangan serta sosioekonomi sesebuah negara.
Agihan pendapatan

Mohamad berkata, industri iklan kini menghadapi masalah agihan pendapatan tidak sama rata.

“Sebagai contoh, daripada RM1 bilion agihan pendapatan iklan, 80 peratus diberikan kepada akhbar Cina dan Inggeris manakala akhbar Melayu tidak sampai pun 20 peratus.
“Kami berpendapat kemelut ini berpunca daripada pakar media yang menasihati GLC bagi menguruskan perbelanjaan iklan adalah terdiri daripada mereka yang berkhidmat dengan agensi pengiklanan antarabangsa.
“Mereka ini tidak membaca atau tidak faham apa yang ditulis oleh akhbar Melayu sehingga menyebabkan mereka tidak menyedari mengenai potensi akhbar ini dalam menarik jumlah pelanggan yang ramai untuk membeli sesuatu produk,” katanya.
Antara persepsi salah yang bermain di fi kiran agensi tersebut ialah kebanyakan masyarakat profesional Melayu tidak membaca akhbar Melayu.
“Ini menyebabkan ada syarikat yang menjual produk peralatan rumah ansuran hanya mengiklan dalam akhbar berbahasa Inggeris sedangkan pelanggan Melayu adalah paling ramai,” katanya.
Menurutnya, pihaknya hairan kenapa akhbar Melayu tidak mendapat tempat sedangkan angka edaran keseluruhan lebih banyak berbanding akhbar berbahasa Inggeris.
Sehubungan itu, peserta forum mencadangkan DPN supaya mewajibkan setiap GLC mengagihkan minimum 30 peratus daripada perbelanjaan iklan kepada surat khabar Melayu.
“Ketiadaan syarat minimum kini menyebabkan ada GLC yang memberi iklan kepada akhbar Melayu sebanyak lima atau 10 peratus sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: