Selasa, 28 Ogos 2012

Karoot Komedia X ungguli semua program hari Jumaat



Kemunculan program sketsa muzikal Karoot Komedia X sejak 8 Jun lalu berjaya mengungguli kedudukan bagi semua program yang ditayangkan pada pukul 10 malam pada hari Jumaat di seluruh negara.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, respons para peminat di laman rasmi Facebook program itu juga memuji usaha Astro dalam memartabatkan dikir barat yang sudah lama dipinggirkan di medium komersial.

“Karoot Komedia X mendapat respons yang baik daripada para peminat di laman sosial Facebook kerana elemen dikir barat yang kita martabatkan dalam program itu. Pada hari ini ia hanya dimainkan di sekolah-sekolah sahaja.

“Apa yang boleh saya katakan, program ini berada pada kedudukan pertama bagi semua program yang ditayangkan pada pukul 10 malam hari Jumaat di seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui mStar Online pada pelancaran program Hari Raya Astro yang bertemakan Eratkan Jalinan di sebuah hotel di sini.

Program selama satu jam ini menampilkan Sabri Yunus sebagai tukang karut dan kumpulan dikir barat bersama para pelakon residen Johan, Ebby Yus, Jep & Shuib (Sepahtu) dan Yus.

Ia disiarkan pada setiap Jumaat pada pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134) di bawah pakej Mustika sebanyak 13 episod.

Nizam berkata, apa yang lebih membanggakan, program selama satu jam itu turut dipuji para penggiat seni tanah air termasuk penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam kerana ia berjaya menghimpunkan seisi keluarga setiap kali ia ditayangkan.

“Apa yang lebih membanggakan kami, program ini juga diikuti oleh kebanyakan penggiat seni tanah air termasuk Datuk Yusof Haslam yang memuji pengisiannya.

“Ia berjaya mengumpulkan seisi keluarga untuk ‘melekat’ di depan televisyen setiap kali waktu tayangannya, malah siaran ulangannya turut dinantikan oleh penonton,” katanya yang mengakui kemunculan program itu meningkatkan jumlah langganan pakej Mustika sebanyak 60 peratus.

Justeru itu, Nizam berkata saluran berkenaan akan meneruskan sambungan bagi musim baru program itu pada tahun depan ekoran sambutan yang baik daripada penonton.

“Kita pasti akan sambung Karoot Komedia X untuk musim baru pada tahun depan.

“Sama ada kita akan ubah sedikit pengisiannya agar lebih menarik atau kekalkan sahaja, ia akan diputuskan kemudian,” katanya.

Sumber: http://mstar.com.my/

Tiada ulasan: