Seperti kemiskinan, kekayaan boleh menjadi dugaan hidup, apatah lagi memilikinya pada usia muda. Maklumlah masa muda merupakan waktu di mana nafsu mahu mencuba segala nikmat dunia berada di puncak dada.
Itulah pengalaman dikongsikan Safwan (bukan nama sebenar). Sebagai permulaan cerita dia menyatakan kesyukuran kerana perjalanan hidupnya sejak kecil sering dipermudahkan.
Di sekolah walaupun bukan pelajar paling cemerlang, prestasi pelajarannya dalam kategori baik. Dikelilingi kawan-kawan, Safwan menjalani kehidupan remaja dalam suasana gembira.
“Sejak sekolah rendah saya ada empat kawan rapat – Jeff, Azrul, Din dan Min. Kami membesar dan bermain sama sejak kecil sebab tinggal berjiran. Kami seolah-olah tak dapat dipisahkan,” ujar Safwan.
Selepas tamat SPM, bagai sudah berjanji kelima-lima mereka mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPT sama, mengambil kursus serupa. Hal ini membuatkan persahabatan mereka tambah erat.
Ketika bergelar penuntut mereka jalani hidup bersama; daripada aktiviti pelajaran hinggalah aktiviti luar lain. Keseronokan merempit, mencuba dadah dan mengunjungi pusat hiburan turut diterokai berlima. Lebih daripada itu, mereka turut menjalankan perniagaan menjual ganja dan pil khayal.
“Kami sepakat tak mahu kerja dengan orang. Jadi lepas tamat belajar kami gunakan keuntungan jual ganja untuk buka perniagaan bersama,” kata Safwan.
Pada mulanya mereka mengusahakan perniagaan kafe siber. Hasil diperoleh agak lumayan namun lama-kelamaan, ia kian merosot membuatkan mereka mula mencongak peluang perniagaan baru.
“Sudah rezeki Tuhan nak bagi, kami dapat kontrak eksport lintah ke Jepun. Peluang itu terus diambil. Kami usahakan ternakan lintah di tanah yang dipajak,” ujar Safwan.
Sejak itu kehidupan mereka berubah agak total. Memanglah sebelum ini mereka tidak susah sangat dari segi duit, namun saat itu hidup bertukar lebih mewah lagi.
Walaupun selepas diagihkan kepada lima, jumlah untung diterima masih sangat besar untuk dibelanjakan apatah lagi bagi orang muda seperti mereka. Langkah kian panjang. Semua keseronokan dunia ingin dicuba.
Aktiviti melancong dan berbelanja sakan menjadi perkara biasa. Pada masa sama judi, minuman keras dan perempuan turut menjadi makanan harian. Meskipun rumah sewa mereka masih di Lembah Klang, ibu bapa dan keluarga jarang-jarang sekali dikunjungi. Safwan, Jeff, Azrul, Din dan Min hanyut dalam kehidupan sendiri.
“Mungkin sebab keluarga ada juga bekalkan ilmu agama waktu kecil, kadang-kadang masa tengah khayal dek minuman keras atau dadah kami sempat berbual soal kehidupan. Bertanya satu sama lain, sampai bila nak macam ni? Apa yang kita buat ni berdosa tahu? Tapi walaupun masing-masing tahu dan setuju susah untuk tinggalkan perkara haram. Maklumlah benda seronok kan,” ucap Safwan.
Tak ingat mengucap
Satu hari, ketika sedang melepak, Min mengajak mereka semua ke satu tempat untuk berjudi. Namun apabila kawan-kawan lain tampak bermalas-malas, dia ambil keputusan untuk bergerak dahulu.
“Kami janji akan datang kemudian. Tapi tak sampai 15 minit lepas dia beredar, saya dapat satu panggilan daripada telefon bimbit Min,” ujar Safwan.
Panggilan bagaimanapun dibuat oleh orang lain. Menurut pemanggil, Min terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kuching. Safwan dan lain-lain segera ke tempat kejadian.
Setibanya di sana, Min masih sedar namun sudah tak mampu bersuara. Safwan, Din dan Jeff menemaninya dalam ambulan menuju ke Hospital Kuala Lumpur manakala Azrul, memandu kenderaan sendiri.
“Dalam ambulan, kami saling berpandangan dalam keadaan panik lihat Min sedang nazak. Petugas ambulan minta kami ajar Min mengucap tapi entah macam mana terpacul dari mulut Jeff, ‘kami tak ingat macam mana nak mengucap pakcik’.
“Petugas itu kemudiannya mengajar Min mengucap. Min menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas itu,” ujar Safwan.
Selepas kematian Min, mereka berempat agak tersentak. Aktiviti harian dan perniagaan diteruskan seperti biasa tapi tak serancak dulu. Apabila duduk bersama mereka lebih banyak berdiam diri melayan perasaan masing-masing.
Begitu pun, sekali sekala pengambilan dadah dan alkohol masih diteruskan. Keseronokan dunia tetap digunakan untuk merawat hati yang sedih kerana kematian sahabat.
“Satu malam, Jeff tiba-tiba ajak kami balik ke rumah ibu bapanya kerana rindukan ibunya. Oleh sebab keluarga Jeff dah macam keluarga sendiri kami nak ikut tapi mahu menyusul kemudian dengan kereta berasingan,” kata Safwan.
Bawa haluan sendiri
Bagai dejavu, tidak lama selepas Jeff keluar, Safwan sekali lagi menerima panggilan telefon daripada orang tak dikenali. Katanya Jeff kemalangan! Maka mereka bergegas ke tempat kejadian. Sepanjang perjalanan kesemua mereka bagai tak keruan kerana masih diimbau kejadian menimpa Min yang belum pun sampai sebulan.
“Jeff meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Kami terduduk menerima berita itu. Ia terlalu sukar dihadamkan fikiran. Belum pun hilang terkejut kehilangan Min, kini Jeff pula menyusul,” ujar Safwan.
Kali ini kematian Jeff benar-benar meninggalkan impak. Safwan, Azrul dan Din bagai kehilangan kata-kata. Semuanya terlalu mengejut.
“Kami mula berbual tentang dosa yang pernah dilakukan bersama-sama. Kami sama-sama setuju ini wake up call dari ALLAH agar kami bertaubat,” ujar Safwan.
Seminggu selepas kematian Jeff, Azrul dan Din menemui Safwan di sebuah restoran. Azrul menyatakan hasrat untuk membawa diri, sementara Din lebih banyak berdiam.
“Selepas pertemuan itu, saya tak lagi tahu khabar berita mereka. Kedua-duanya menghilangkan diri begitu sahaja. Sampailah dua tahun lalu, saya bertemu Azrul secara tak sengaja di Pulau Pinang. Penampilannya sudah jauh berubah. Dia masih menyatakan kekesalan atas dosa lampau.
"Din pula sampai sekarang tak tahu apa khabar berita. Terakhir saya dengar, dia sertai tabligh,” kata Safwan.
Bagi Safwan sendiri, kematian Min dan Jeff meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Dia mula mendekatkan diri dengan keluarga dan kembali pada tuntutan agama.
Perniagaan yang diusahakan bersama kawan-kawan baiknya sebelum ini turut dijual kerana terlalu banyak kenangan mengusik jiwa untuk diteruskan. Buat masa ini, dia mengambil keputusan untuk bekerja makan gaji sahaja.
“Kubur kedua-dua sahabat saya itu tidak jauh dari kawasan perumahan, jadi setiap hari saya akan melewatinya setiap kali pergi dan balik kerja. Sekurang-kurangnya, ia mengingatkan saya bahawa kematian sangat dekat dengan manusia tidak kira berapa usia kita.
"Maka rugilah jika kita terlalu leka dengan nikmat dunia hingga abaikan persediaan ke alam kekal kelak,” ujar Safwan yang baru menginjak ke usia 28 pada 8 Disember 2012 lalu.
sinarharianonline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan